Thursday 19 June 2014

Musim Bunga di Putrajaya

Dalam awal tahun ini, negara dilanda musim kering atau kemarau. Maka, bermulalah beberapa episod dan siri jerebu yang membimbangkan. Tak lain, tak bukan antara punca jerebu ini adalah disebabkan oleh pembakaran terbuka yang membentuk rentetan episod kebakaran di beberapa tempat dan menyebabkan jerebu.

Namun, cuaca musim panas pada ketika itu sangat unik. Suasana bertukar musim. Hebat diperkatakan dalam media termasuk media sosial mengenai `Musim Bunga´ yang terjadi terutamanya di negeri Kedah. Dalam media sosial ataupun di dalam akhbar sibuk memperkatakan tentang Musim Bunga di negeri Kedah seperti di Alor Star, Universiti Utara Malaysia, UiTM Kedah dan sebagainya.

Saya sempat juga mengambil foto bagi `Musim Bunga´ di Putrajaya. Apa kurangnya di Putrajaya, dalam menghayati alam dapat dilihat banyak pokok yang selama ini menghijau kini ia kelihatan dihiasi dengan bungaan yang cantik.

Hikmahnya, dapatlah diketahui bahawa rupanya tumbuhan yang menghijau itu mengeluarkan warna bungaan tertentu. Ini gambar fotonya.



Kelihatan menarik dan suasana Putrajaya pun bertukar menjadi lebih ceria walaupun cuaca kering dan panas pada ketika itu. Ia menjadikan kenangan manis bagi mereka menghargai suasana ini.

Tuesday 13 May 2014

Jalan-Jalan di Rembau

Disebabkan hari ini cuti, kami pun mengambil peluang pada pagi ini untuk bersarapan di luar. Kami sengaja mencari tempat makan yang agak istimewa sedikit untuk bersarapan. Setelah mencari idea, kami pun pergi bersarapan di R&R Nilai (Arah Selatan). Oh ya, apa yang menarik ialah Nasi Lemak Monjo di situ.

Selepas bersarapan, alang-alang berada di Lebuhraya Utara Selatan kami singgah di Senawang. Pusing-pusing di Senawang, kami melalui Linggi, Pedas dan kemudian kami singgah di Rembau.

Apa yang menarik di Rembau ini tidaklah saya ketahui lagi. Ini kali pertama saya ke situ. Mungkin slogan ikutan Rembau yang popular pada masa ini iaitu `Rembau Most Wanted´ menjadikan Rembau semakin dikenali.

Di Rembau dapat dilihat pekan-pekan lama. Suasana tidak begitu aktif mungkin kerana hari ini merupakan Cuti Hari Wesak. Setelah agak letih, kami pun singgah di suatu tempat rekreasi di situ.

Taman Rekreasi Rembau merupakan nama bagi tempat rekreasi ini. Apa yang menarik di situ ialah dengan adanya sebuah jambatan gantung yang boleh digunakan untuk menyeberangi tasik.

Selain daripada itu, terdapat taman permainan untuk kanak-kanak dan juga pondok rehat untuk pengunjung.

Nampaknya, itu sahaja pengalaman kami di Rembau buat kali ini.








Saturday 10 May 2014

Kuih Peniram Merbok

Baru-baru ini saya ke Utara iaitu ke negeri Kedah yang juga merupakan negeri Jelapang Padi. Saya berada di sana kerana ada urusan di Sungai Petani. Dalam satu masa kami melihat-lihat sebentar Hutan Rekreasi Tupah kerana selepas itu kami ada urusan di tempat lain. Dalam perjalanan di Tupah ke Merbok, rakan saya membawa kami singgah di sebuah kedai makan berdekatan untuk membeli Kuih Peniram.

Saya dipelawa untuk rasa Kuih Peniram yang dibeli itu. Sekali rasa, tidak sangka pula sedap sungguh rasanya. Sebelum ini tidak pernah pula pernah saya jumpa Kuih Peniram yang rasanya sedap seperti ini. Saya juga bukanlah orang negeri Kedah atau orang Utara. Mungkin agaknya sebab itu saya rasakan ianya istimewa. Apalagi, berebut-rebut kami yang dari Kuala Lumpur ini membeli Kuih Peniram untuk dibawa balik. Lebih-lebih lagi kami datang menaiki kapal terbang dan balik hari sahaja.

Atau mungkin, saya yang jarang membeli Kuih Peniram kerana sebelum ini tiada keinginan untuk membeli atau merasa Kuih Peniram. Inilah Kuih Peniram dari Peniram Corner di Merbok, Kedah. Sekadar berkongsi pengalaman mengenai kuih tradisional yang unik ini.








Friday 9 May 2014

Kenangan Stadium Kota Raja Klang

Baru-baru ini saya sempat ke Stadium Kota Raja Klang. Stadium ini terletak di Jalan Kota Raja berhampiran dengan Istana Alam Shah, Klang. Sebagai sebuah bandar lama, Klang sememangnya banyak menyimpan sejarah lama. Pada hari itu, sempat saya mengambil gambarfoto plak tanda nama perasmian Stadium Kota Raja ini.

Daripada plak tersebut, dapat dilihat stadium ini telah dirasmikan oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor pada ketika itu iaitu pada tahun 1975. Arwah ayah saya pernah beritahu bahawa stadium ini pada masa dahulu tidak seperti sekarang yang jika dilihat binaannya hanya sebahagian yang dikekalkan. Pada masa dahulu, stadium ini lengkap binaannya.

Dalam era tahun 1980-an, stadium ini aktif digunakan untuk oleh pelbagai pihak untuk aktiviti bersama komuniti. Saya masih ingat lagi, stadium ini juga yang dikenali sebagai Padang Sultan Sulaiman pernah digunakan untuk satu program berkaitan belon udara panas.

Kini, stadium ini masih tidak jauh beza dengan keadaannya dalam 10 tahun yang lepas. Ramai orang awam yang menggunakan fasiliti di situ untuk aktiviti joging, senaman, bersukan, refleksologi dan lain-lain. Ini dapat saya lihat pada minggu lepas ketika ke situ.

Adalah diharapkan sekiranya stadium ini dinaik taraf dan di tambah baik akan memberikan lagi keceriaan kepada warga Klang untuk menjalankan aktiviti riadah.

Walauapapun, Klang yang dahulu masih dalam ingatan.

Powered by Blogger. Blogger Template by Intikali.org. Supported by Iskael and BlogSpot Design.