Kepada peminat-peminat burger, sekiranya anda berada di sekitar Klang bolehlah singgah di Bandar Puteri untuk merasai keunikan dan keenakan burger yang dikenali dengan nama Burger A.T.S Gangster. Gerai yang terletak di Bandar Puteri ini diusahakan oleh anak-anak muda tempatan di situ.
Thursday, 22 August 2013
Jalan-Jalan Cari Makan, Burger A.T.S Gangster
Kepada peminat-peminat burger, sekiranya anda berada di sekitar Klang bolehlah singgah di Bandar Puteri untuk merasai keunikan dan keenakan burger yang dikenali dengan nama Burger A.T.S Gangster. Gerai yang terletak di Bandar Puteri ini diusahakan oleh anak-anak muda tempatan di situ.
Saturday, 27 July 2013
Kenangan Zaman Kanak-Kanak 1980-an, Permainan Kad
Masihkah ada yang ingat lagi tentang permainan kad pada mereka yang melalui zaman kanak-kanak dalam tahun 1980-an? Jika di sekolah dahulu atau dengan adik-beradik saya bila ada masa lapang, masa bermain-main atau cuti sekolah kami suka bermain permainan kad ini. Permainan kad yang dimaksudkan adalah Happy Family, Donkey, Snap dan Old Maid.
Masih ingat lagi dengan permainan kad ‘Snap’? Bila kad dengan gambar yang sama diletakkan di atas lantai, kami akan berebut-rebut untuk tepuk kad itu dengan menyebut ‘Snap!’. Biasanya permainan kad ini dimain secara berkumpulan. Duduk di lantai dalam satu pusingan dan mengikut giliran masing-masing yang ditetapkan. Sebenarnya, saya juga ingat-ingat lupa akan cara permainan-permainan kad ini. Saya juga sebenarnya sudah lupa akan kewujudan permainan kad ini tetapi pada satu hari ketika saya ke kedai bersama anak-anak, saya ternampak kotak kad ini. Jadi, saya pun beli keempat-empat kad tersebut. Rasa gembira dapat membuat koleksi kad tersebut semula. Ia mengimbau kembali zaman kanak-kanak dahulu yang dirindui. Kami bermain permainan kad ini dengan rasa yang gembira dan riang pada ketika itu.
Wednesday, 24 July 2013
Kenangan 1980-an, Hobi Mengumpul Setem
Kali ini coretan saya adalah mengenai hobi pada zaman kanak-kanak dahulu. Pada zaman kecil dahulu, kita sering ditanya mengenai hobi atau apa yang digemari dilakukan ketika masa lapang. Tidak seperti zaman ini, di mana banyak aktiviti yang boleh dilakukan termasuklah menggunakan gajet atau komputer, melayari internet dan pelbagai aktiviti luar yang boleh dilakukan seperti bersukan, berenang, bermain futsal dan sebagainya. Tidak seperti zaman dahulu di mana kemajuan ekonomi tidaklah sehebat zaman sekarang, kemudahan awam yang terhad maka hobi atau apa yang dilakukan ketika masa lapang tidaklah sehebat seperti hari ini.
Masihkah ada sesiapa yang masih hobinya mengumpul setem sehingga hari ini? Kesedaran untuk mengumpul setem pada diri saya timbul semula setelah saya ditugaskan dalam bidang pekerjaan saya untuk menguruskan satu projek mengenai setem korporat. Justeru, secara tidak langsung ia mengingatkan saya mengenai hobi mengumpul setem ini dan membangkitkan semula semangat saya untuk mengumpul setem kembali.
Apa yang saya lakukan adalah ketika berkunjung ke sebuah kedai buku, saya mencari buku atau album setem. Syukur, masih ada dijual lagi buku setem seperti ini. Tidak seperti zaman dahulu di mana setem terpakai mudah didapati. Ini adalah kerana komunikasi menerusi surat-menyurat sangat aktif dipraktikkan pada zaman dahulu. Surat-menyurat, kiriman kad raya, kenalan atau rakan `pen-pal’ semuanya menggunakan medium surat dan di situ dapatlah kita mengumpul setem. Pada zaman ini pula, surat-menyurat tidak aktif dipraktikkan seperti pada zaman dahulu kerana kini terdapatnya kemudahan media elektronik seperti e-mail, telefon pintar, `video-conferencing’ dan sebagainya yang lebih memudahkan urusan atau aktiviti untuk berkomunikasi.
Walaubagaimanapun, aktiviti mengumpul setem adalah sesuatu hobi yang sangat unik. Ia merupakan satu hobi yang bergantung kepada minat seseorang itu terhadap nilai dan keunikan sesuatu setem itu. Bagi mereka yang berfikir mengenai ‘nilai’ sesuatu barangan yang unik ini, mungkin suatu hari nanti sekiranya ada permintaan terhadap setem yang anda kumpul, mungkin anda boleh menjualnya semula kepada mereka yang berminat untuk mendapatkannya dengan satu tawaran harga yang mungkin juga boleh memberi keuntungan pada anda.
Kini, saya sedang memulakan kembali aktiviti mengumpul setem ini. Rasa gembira dan puas hati dapat mengisi album setem tersebut dengan setem-setem yang terkini. Masih ada lagi surat-surat yang menggunakan setem. Jika saya pulang ke rumah ibu, saya akan ke kotak surat-surat untuk adik-beradik yang lain dan mendapatkan setem dari situ.
Bagi mereka yang masih meminati aktiviti mengumpul setem atau bahan-bahan filateli bolehlah memulakannya kembali dengan mengikuti perkembangan dunia setem menerusi Pos Malaysia.
Tuesday, 23 July 2013
Kenangan Ramadhan
Nyanyian: El-Suraya
Rahmat berlimpah dari Illahi,
Banyakkan amal di bulan ini,
Wajah muslimin selalu berseri,
Pintu neraka ia tutupkan,
Dirantai hina segala syaitan,
Ikhlas ibadat kepada Tuhan
Di bulan ini nuzulnya Quran,
Lailatul Qadar harus dicari,
Amal mulia seribu bulan,
Jangan lalaikan setiap hari
Hikmah puasa alangkah indahnya,
Ingatlah nasib umat sengsara,
Zakat fitrah tunaikan segera,
Bersihlah diri orang berpuasa
Ramadan bulan yang suci,
Rahmat berlimpah dari Illahi,
Banyakkan amal di bulan ini,
Wajah muslimin selalu berseri (Klik: Dengarkan di YouTube)
Empangan Mengkuang
Percutian kami ke Pulau Pinang pada April 2013, membolehkan kami untuk singgah di Empangan Mengkuang yang terletak di Bukit Mertajam, Seberang Perai Tengah.
Empangan Mengkuang merupakan sebuah empangan bekalan air jenis ‘earthfill’ yang mempunyai pemandangan indah. Di samping itu, kawasan persekitarannya mempunyai kemudahan untuk berekreasi dan juga trek jogging.
Pasar Nelayan Sungai Yu
Pada mereka yang tercari-cari tempat mendaratnya ikan-ikan segar dari lautan oleh nelayan-nelayan di Kuala Selangor, Pasar Nelayan Sungai Yu Tanjung Karang, Kuala Selangor adalah tempatnya. Jeti nelayan tersebut telah dibangunkan untuk menjadikan Kampung Sungai Yu sebagai hub pendaratan ikan dan lokasi pasar ikan rakyat bagi menjual ikan segar di kawasan Tanjung Karang. Pasar Nelayan ini telah dibangunkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Kementerian Pertanian Industri dan Asas Tani.
Pada masa saya ke sini, belum waktu pendaratan ikan lagi. Jadi, jika hendak ke sini untuk mendapatkan ikan-ikan yang segar perlulah mengikuti masa nelayan mendarat membawa bekalan ikan.
Jelajah Keluarga ke Sungai Lembing
Perjalananku ke Sungai Lembing yang terletak kira-kira 42 km dari bandar Kuantan, Pahang merupakan satu perjalanan yang menarik dan tidak dapat dilupakan. Sungai Lembing merupakan sebuah kawasan dan tempat terpencil di mana suatu masa dahulu ia merupakan kawasan perlombongan bijih timah yang penting, aktif dan masyhur. Sehingga tahun 1970-an, Sungai Lembing masih merupakan pengeluar utama bijih timah di negara ini.
Pada awalnya, ketika suamiku mengajak untuk ke Sungai Lembing, mendengarkan namanya sahaja, terus terang bahawa aku tidak begitu mengenali dan mengetahui mengenai tempat bersejarah ini. Cuma, apa yang aku ingat di dalam kotak fikiran ini adalah mengenai Sungai Lembing iaitu sebuah kawasan perlombongan bijih timah seperti mana yang aku pelajari dalam matapelajaran Sejarah sewaktu zaman persekolahan di tingkatan menengah suatu masa dahulu.
Tetapi, dalam perjalanan pulang dari Kuantan ke Kuala Lumpur bagi percutian keluarga kami di Pantai Timur pada Mei 2009, telah memberi gambaran yang manis dan indah buatku walaupun aku bukanlah pencinta subjek Sejarah. Pandangan pertama aku sebaik sahaja berkunjung ke sana adalah Sungai Lembing merupakan suatu `kawasan tinggal’ yang jauh dari kota, kawasan terpencil dan kawasan berpendudukan golongan lama. Timbul beberapa persoalan iaitu `mengapa mereka tinggal di dalam kawasan hutan seperti ini suatu masa dahulu?’, `sudah pasti suatu waktu yang lalu, pekan ini merupakan pekan yang aktif’, `mengapa kawasan ini menjadi kawasan tinggal?’.
Perjalanan dari Kuantan ke Sungai Lembing dengan pemandangan hutan mejadikan perjalanan lebih menarik dan sunyi di samping menikmati keindahan alam semulajadi yang berlatarbelakangkan hutan, sungai, bukit batu kapur, kawasan kampung dan pekan-pekan kecil.
Bagaimanapun, sukar hendak menggambarkan semuanya dengan kata-kata. Tetapi, lawatlah sendiri ke sana. Pasti menarik bagi mereka yang meminati Sejarah asal usul kependudukan, sosio-ekonomi serta transisi biologi dan geografi. Perjalanan mungkin lebih menarik dan menyeronokkan jika masuk ke kawasan perkelahan air terjun berdekatan di mana tempat tersebut tidak aku kunjungi kerana lokasinya agak ke dalam hutan sedikit begitu juga dengan kawasan bekas perlombongan itu sendiri yang tidak sempat aku lawati.
Sunday, 21 July 2013
Melihat Istana Kellie
Selama ini saya hanya membaca kisah mengenai Istana Kellie atau Kellie’s Castle yang terletak di Batu Gajah, Perak. Kebanyakan kisah yang dibaca mengenainya adalah seperti kisah misteri, sejarah mahupun mistik disebalik bangunan lama yang tersergam unik, megah dan indah ini.
Kelihatan bangunan Istana Kellie yang masih kukuh tergergam indah walaupun ianya sebuah bangunan lama
Istana Kellie merupakan kawasan yang menjadi tumpuan dan tarikan pelancong kerana keunikan kisah sejarah dan misteri di sebalik pembinaan bangunan ini
Istana Kellie terletak tidak jauh dari persimpangan Jalan Persekutuan di Batu Gajah, Perak
Waktu operasi untuk memasuki bangunan ini adalah dari jam 9.00 pagi dan ditutup pada jam 6.00 petang
Informasi di kaunter tiket
Ini adalah gambarfoto Agnes Smith yang merupakan isteri kepada William Smith
Terdapat informasi mengenai cicit William Kellie Smith yang mengunjungi Istana Kellie ini pada sekitar tahun 2007
Terdapat sebuah sungai berdekatan bangunan tersebut iaitu Sungai Kinta
Dikatakan seperti terbinanya Istana Taj Mahal atas dasar cinta, begitulah juga pembinaan Istana Kellie ini yang merupakan lambang kasih sayang dan cinta William Kellie Smith terhadap isterinya yang bernama Agnes.
Membeli-belah di Silk Street Market
Inilah Silk Street Market di Kota Beijing, China
Beg duit wanita yang saya beli untuk diberikan sebagai cenderahati
Beg kain yang unik ini juga dibeli untuk diberikan sebagai cenderahati
Di Silk Street Market, juga terdapat menjual barangan beg dompet. Namun, dinasihatkan supaya berhati-hati ketika memegang, memilih atau membeli barangan yang diperbuat daripada kulit ini bagi mereka yang beragama Islam. Ini adalah kerana ada yang terdapat barangan kulit seperti ini diperbuat daripada kulit khinzir.
Pemandu teksi ini adalah seorang wanita dan sukar baginya untuk memahami Bahasa Inggeris
Sekiranya anda hendak pergi dengan menaiki teksi, bagi anda yang tidak pandai berbahasa Cina dinasihatkan kepada anda untuk meminta bantuan daripada pihak hotel untuk menulis nama tempat yang anda ingin pergi atau tujui supaya untuk mengelakkan masalah komunikasi. Seperti pemandu teksi ini, kami bersama-sama tidak memahami bahasa yang dipertuturkan masing-masing di mana kami berbahasa Inggeris dan pemandu tersebut berbahasa Cina. Mujurlah pihak hotel yang kami menginap membantu untuk menulis nama tempat tersebut pada sekeping kertas dalam tulisan Cina dan memberikan kami kad alamat hotel supaya tidak sesat nanti.
Di Silk Street Market juga, anda boleh tawar-menawar. Harga yang dijual agak berbaloi. Namun, janganlah pula tawar-menawar dengan harga yang tidak berpatutan kelak nanti tidak akan menggembirakan peniaga-peniaga di situ.
Saturday, 20 July 2013
Kenangan 1980-an, `Blowing Balloon’
Bila teringat kembali kenangan zaman kanak-kanak, tentu rasa syahdu bukan. Kenangan bersama ibu, ayah, adik-beradik, rakan-rakan sekolah, rakan-rakan sekampung membuatkan kita rasa rindu akan saat itu dan adakalanya ia menyentuh perasaan.
Baru-baru ini, anak saya yang kedua membawa pulang pek harijadi pemberian rakan dari taskanya. Antara barangan pemberian dalam pek harijadi tersebut biasalah seperti gula-gula, roti mini, belon dan sebagainya. Tetapi, apa yang menarik perhatian saya adalah belon ini iaitu ‘Blowing Balloon Ladybird Brand’. Belon ini disertakan sekali bersama peniupnya yang menggunakan `straw’ kecil.
Masih ingat lagi bagaimana hendak bermain belon tiup ini? Bila saya lihat belon ini, terus teringat zaman kanak-kanak dahulu. Di mana ada dijual belon ini? Berapa harganya pada waktu dahulu? Dan berapa pula harga yang dijual pada ketika ini? Lama sungguh saya tidak melihatnya.
`Blowing Balloon Ladybird Brand’, itulah yang tertulis pada belon tersebut
Friday, 19 July 2013
Singgah Sebentar di Gua Tempurung
Hati rasa sungguh teruja dapat mendekati kaki bukit di Gua Tempurung tersebut. Ketika sampai di sana, saya bersama keluarga dan anak-anak kecil. Jadi, sememangnya kami tidak merancang untuk memasuki dalam gua tersebut memandangkan tiga anak kecil kami yang turut bersama mungkin keadaan tidak sesuai bagi mereka.
Kami hanya mengambil kesempatan untuk bersiar-siar di persekitaran gua tersebut dan melihat-lihat keadaan sekeliling. Mungkin gambarfoto di bawah ini boleh menceritakan sedikit sebanyak mengenai suasana persekitaran Gua Tempurung tersebut:-
Pemandangan kehijauan di hadapan `pintu’ Gua Tempurung
Keindahan pokok buluh di persekitaran Gua Tempurung
Kekayaan spesies pokok buluh di kawasan tersebut
Terdapat sebuah tasik yang setenang mata memandang juga terdapat aktiviti rekreasi air di situ
Pemandangan unik di pondok teduhan dengan tumbuhan rumput di atas bumbungnya
Sedikit latar-belakang mengenai Gua Tempurung di papan tanda informasi ini yang disediakan oleh pihak Tourism Malaysia
Titian yang dibina dan disediakan kepada orang awam untuk memasuki ke dalam Gua Tempurung tersebut
Tumbuhan yang terdapat di situ
Bukit yang menyimpan khazanah Gua Tempurung