Wednesday 24 July 2013

Kenangan 1980-an, Hobi Mengumpul Setem

Kali ini coretan saya adalah mengenai hobi pada zaman kanak-kanak dahulu. Pada zaman kecil dahulu, kita sering ditanya mengenai hobi atau apa yang digemari dilakukan ketika masa lapang. Tidak seperti zaman ini, di mana banyak aktiviti yang boleh dilakukan termasuklah menggunakan gajet atau komputer, melayari internet dan pelbagai aktiviti luar yang boleh dilakukan seperti bersukan, berenang, bermain futsal dan sebagainya. Tidak seperti zaman dahulu di mana kemajuan ekonomi tidaklah sehebat zaman sekarang, kemudahan awam yang terhad maka hobi atau apa yang dilakukan ketika masa lapang tidaklah sehebat seperti hari ini.

Masihkah ada sesiapa yang masih hobinya mengumpul setem sehingga hari ini? Kesedaran untuk mengumpul setem pada diri saya timbul semula setelah saya ditugaskan dalam bidang pekerjaan saya untuk menguruskan satu projek mengenai setem korporat. Justeru, secara tidak langsung ia mengingatkan saya mengenai hobi mengumpul setem ini dan membangkitkan semula semangat saya untuk mengumpul setem kembali.

Album Setem

Apa yang saya lakukan adalah ketika berkunjung ke sebuah kedai buku, saya mencari buku atau album setem. Syukur, masih ada dijual lagi buku setem seperti ini. Tidak seperti zaman dahulu di mana setem terpakai mudah didapati. Ini adalah kerana komunikasi menerusi surat-menyurat sangat aktif dipraktikkan pada zaman dahulu. Surat-menyurat, kiriman kad raya, kenalan atau rakan `pen-pal’ semuanya menggunakan medium surat dan di situ dapatlah kita mengumpul setem. Pada zaman ini pula, surat-menyurat tidak aktif dipraktikkan seperti pada zaman dahulu kerana kini terdapatnya kemudahan media elektronik seperti e-mail, telefon pintar, `video-conferencing’ dan sebagainya yang lebih memudahkan urusan atau aktiviti untuk berkomunikasi.

Walaubagaimanapun, aktiviti mengumpul setem adalah sesuatu hobi yang sangat unik. Ia merupakan satu hobi yang bergantung kepada minat seseorang itu terhadap nilai dan keunikan sesuatu setem itu. Bagi mereka yang berfikir mengenai ‘nilai’ sesuatu barangan yang unik ini, mungkin suatu hari nanti sekiranya ada permintaan terhadap setem yang anda kumpul, mungkin anda boleh menjualnya semula kepada mereka yang berminat untuk mendapatkannya dengan satu tawaran harga yang mungkin juga boleh memberi keuntungan pada anda.

Kini, saya sedang memulakan kembali aktiviti mengumpul setem ini. Rasa gembira dan puas hati dapat mengisi album setem tersebut dengan setem-setem yang terkini. Masih ada lagi surat-surat yang menggunakan setem. Jika saya pulang ke rumah ibu, saya akan ke kotak surat-surat untuk adik-beradik yang lain dan mendapatkan setem dari situ.

Bagi mereka yang masih meminati aktiviti mengumpul setem atau bahan-bahan filateli bolehlah memulakannya kembali dengan mengikuti perkembangan dunia setem menerusi Pos Malaysia.

No comments:

Powered by Blogger. Blogger Template by Intikali.org. Supported by Iskael and BlogSpot Design.