Tuesday 23 July 2013

Kenangan Ramadhan

Setiap kali bila tiba bulan Ramadhan, banyak perkara yang akan menyentuh ingatan kita bukan? Ini adalah kerana bulan ini sangat istimewa. Ramadhan kali ini sudah tentu berbeza bagi aku dengan tahun-tahun yang lalu. Bila tiba Ramadhan, aku membanding-bandingkan dengan masa-masa Ramadhan yang telah berlalu suatu masa dahulu. Maklum sahaja apabila usia meningkat kedewasaan mengiringi diri, musim berubah, dunia berubah, hari berlalu, aku sungguh mengingati zaman yang telah berlalu.

Aku teringat zaman persekolahan, zaman ketika aku bersama adik-beradikku, ketika bersama-sama kawan-kawan di universiti, saat aku menolong ibuku menyediakan juadah untuk dijual di pasar Ramadhan, sungguh bulan yang mulia ini lebih mudah membuatkan ingatan kita tersentuh.

Aku juga pasti, ramai yang suka mendengar lagu raya pada ketika ini. Hari ini sudah hari yang ke-15 dalam bulan Ramadhan tahun ini. Lagu raya sudah mula berkumandang di radio. Mendengar lagu raya bukan bermakna tidak sabar untuk menyambut hari raya, tetapi mungkin kerana bermain dengan memori di ingatan.

Memori Ramadhan atau hari raya banyak menyentuh erti kekeluargaan, erti adik-beradik, erti persahabatan, erti seorang anak, erti keibu-bapaan dan juga erti hubungan sesama manusia. Ia mengingatkan kita juga pada yang telah tiada dan yang pasti erti kerinduan. Juga erti kasih-sayang serta lain-lain, erti kerohanian seperti meningkatkan kesabaran dalam menghadapi sebarang dugaan dan cubaan dalam kehidupan ini.

Sebagai contohnya aku mengingati sebuah lagu ini ketika selalu diperdengarkan di kebanyakan setiap waktu sahur dalam bulan puasa suatu masa dahulu. Bait-bait lagunya berbunyi begini:-

Lagu: Ramadan

Nyanyian: El-Suraya
Ramadan bulan yang suci,
Rahmat berlimpah dari Illahi,
Banyakkan amal di bulan ini,
Wajah muslimin selalu berseri,
Pintu syurga Tuhan bukakan,
Pintu neraka ia tutupkan,
Dirantai hina segala syaitan,
Ikhlas ibadat kepada Tuhan

Di bulan ini nuzulnya Quran,
Lailatul Qadar harus dicari,
Amal mulia seribu bulan,
Jangan lalaikan setiap hari
Hikmah puasa alangkah indahnya,
Ingatlah nasib umat sengsara,
Zakat fitrah tunaikan segera,
Bersihlah diri orang berpuasa

Ramadan bulan yang suci,
Rahmat berlimpah dari Illahi,
Banyakkan amal di bulan ini,
Wajah muslimin selalu berseri
(Klik: Dengarkan di YouTube)

Lagu ini sering dimainkan pada waktu sahur di Radio RTM. Aku masih ingat arwah abah aku, adakalanya membuka radio pada waktu sahur dan lagu nasyid itu yang sering kedengaran. Secara tidak langsung, ia mengingatkan aku suasana waktu sahur ketika kami adik-beradik masih bersama dan kecil dahulu.

Pelbagai ragam dan yang pasti mengingati masakan ibuku yang walaupun hanya memasak lauk telur kicap, tetapi mampu membangkitkan selera untuk makan walaupun pada waktu yang terlalu pagi itu.

Aduhai masa, memang kita tidak boleh mengulanginya semula. Apapun, tidak lupa untuk menyatakan ia mengembalikan memori kepada nostalgia suka dan duka yang menjadikan aku semakin rindu pada masa lalu.

Ramadhan

No comments:

Powered by Blogger. Blogger Template by Intikali.org. Supported by Iskael and BlogSpot Design.